SEMEMANGNYA wajar keputusan kerajaan melarang saingan Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan musim ini demi keselamatan semua pihak bukan satu atau pihak tertentu sahaja.

Ini ditegaskan bekas pemain pertahanan kebangsaaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang sudah pun menjangkakan semua acara sukan termasuk bola sepak tempatan akan dibatalkan sepenuhnya.

Katanya, kesan wabak Covid-19 mengambil masa antara enam bulan hingga setahun dan agak mustahil untuk aksi Liga M dapat diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Menurutnya, semua pihak terutama pemain, persatuan bola sepak, kelab dan peminat perlu menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang dimuktamadkan kerajaan hari ini demi kebaikan semua pihak.

“Saya berpendapat saingan Liga M boleh dimulakan semula awal tahun depan, mungkin Ferbuari atau Mac dimana ketika itu keadaan semasa semakin pulih walaupun tidak mencapai seratus peratus.

“Sebagai contoh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sudah memutuskan untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, Mac tahun depan.Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengikut langkah yang diambil KBS.

“Walaupun kesan pembatalan Liga M musim ini amat dirasai kira-kira 1,500 pemain namun mereka perlu akur dan reda terhadap bencana yang berlaku,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, sudah tiba masanya pemain boleh memikirkan kaedah terbaik untuk mereka menghasilkan pendapatan tambahan dengan berniaga dan sebagainya terutama selepas gaji mereka dipotong.

Jamal Nasir berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa wabak Covid-19 yang berlaku hari ini suatu bencana yang terburuk tidak pernah terfikir, kesannya semua pihak merasainya.PKP mengubah cara hidup rakyat yang tidak dibenarkan keluar rumah.

Menurutnya, sukan bola sepak memerlukan aksi 22 pemain tidak termasuk pegawai pasukan, pengadil dan pemungut bola.

Tidak mustahil gejala buruk pendamik berkenaan boleh berlaku dengan membentuk klaster baru yang begitu merbahaya.

“Saya berharap pemain dapat bersabar dan menerima hakikat keputusan kerajaan yang tidak membenarkan saingan Liga M diteruskan musim ini. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak melatah.

“Pasti ada hikmah dengan keputusan yang buat kerajaan hari ini yang hanya mementingkan keselamatan rakyat, tidak lebih daripada itu,” katanya yang juga berharap pemain dapat terus mengekalkan kecergasan sebagai persiapan musim depan.