VUELTA tahun ini akan bermula di negara Basque selepas pembatalan saingan permulaan di Belanda, menurut salah satu penganjur Jelajah Utama, awal pagi tadi.

Vuelta atau Jelajah Sepanyol dijadualkan bermula 14 Ogos di Utrecht dan tamat 6 September di Madrid tetapi perlumbaan ditangguhkan ke tarikh belum ditetapkan susulan pandemik koronavirus.

Ia juga akan bermula di Irun, Sepanyol dan mengandungi 18 peringkat, kurang tiga daripada jadual asal selepas saingan di Belanda dimansuhkan.

Kenyataan penganjur perlumbaan berkata keputusan itu tidak menggantikan tiga saingan peingkat pertama yang merangkumi wilayah Belanda, Utrecht dan North Brabant serta memulakan perlumbaan di Sepanyol dengan peringkat Irun-Alto de Arrasate (di Eibar).

“Kami telah berhubung dengan UCI, jadi badan induk itu boleh menjadualkan semula kalendar dengan 20 hari Jelajah dan bukan 23 seperti yang dirancang,” kata kenyataan itu lagi.

Ia juga kali pertama Vuelta menampilkan kurang daripada 21 peringkat sejak perlumbaan 19 peringkat pada 1985.

Sebelum ini, penganjur Vuelta dalam satu kenyataan akhbar berkata mereka terpaksa memansuhkan permulaan perlumbaan di Belanda.

“La Vuelta 20 tidak akan bermula di Belanda,” kata penganjur. “Berdasarkan situasi semasa susulan krisis Covid-19, jawatankuasa penganjur La Vuelta Holanda terpaksa membatalkan permulaan rasmi di Utrecht dan North Brabant.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19