BEKAS pemain tenis wanita nombor satu dunia, Victoria Azarenka mempunyai cara tersendiri meraih dana bagi membantu mereka yang menerima kesan akibat pandemik Covid-19 di Miami, Florida.

Juara Grand Slam dua kali yang tinggal di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu dan turut menjuarai Terbuka Miami dua kali sepanjang kariernya memuatnaik di media sosial: “Saya Victoria Azarenka, pemain tenis profesional dan menyertai beberapa kejohanan di Florida Selatan. Hati saya tersentuh melihat bagaimana Covid-19 memberi kesan kepada dunia, rakan dan ahli keluarga.

“Sudah 82 hari sejak CDC mengesahkan kes pertama Covid-19 di negara ini. Wabak ini telah mengubah kehidupan kita dalam beberapa cara, bermula dengan industri perubatan dan sekarang ketika krisis berterusan ia memberi kesan kepada hampir 81% perniagaan kecil Miami-Dade County dan menjejaskan hampir 248,000 keluarga dengan kanak-kanak menjadi mangsa utama.

“Saya gembira dapat membantu komuniti setempat dengan melelong bebarapa pasang kasut yang bertandatangan ketika saya bermain tenis. Dana diperolehi akan disalurkan kepada United Way of Miami-Dade yang menubuhkan Dana Pandemik Miami.

“Dana ini membolehkan pihak terbabit membantu keluarga memerlukan dari segi perubatan, makanan dan keperluan lain termasuk dana untuk peniaga kecil.”

Acara lelong itu bermula kelmarin dan berakhir pada 25 April.