JANGAN sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Itu peringatan diluahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul buat semua pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga M) termasuk Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) supaya segera mengadakan perbincangan bersama pasukan masing-masing.

Jelas Windsor, kedegilan segelintir pemain kemungkinan akan menyebabkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) boleh menggunakan kuasa veto selaku badan induk utama dengan membuat keputusan-keputusan yang mungkin lebih drastik ke atas kontrak pemain di Liga M.

Antara risiko mungkin berlaku adalah pemotongan gaji yang akan ditentukan sendiri Fifa selepas mengambil kira semua laporan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada badan induk dunia itu.

“Pemain kena faham, Fifa menggariskan peraturan baharu dengan mahu semua pemain mengadakan rundingan dengan pasukan supaya mereka meraih sesuatu daripada situasi Covid-19 ini.

“Tetapi jika pemain tetap degil, Fifa boleh membuat keputusan selepas mendapat laporan penuh daripada FAM.

“Kena ingat betul-betul apa yang ingin saya terangkan ini, laporan FAM itu nanti adalah dokumen penuh mengenai situasi semasa dalam negara termasuk bantuan daripada kerajaan.

“Misalnya sekarang, kerajaan Malaysia sudah tetapkan rakyat tidak perlu membayar duit kereta, pinjaman rumah dan pinjaman berkaitan kepada bank untuk tempoh enam bulan.

“Maknanya pasukan mungkin dibenarkan memotong lebih banyak gaji pemain sekiranya mereka berkeras tidak mahu berbincang.

“Maksud saya, kalau sekarang pemain boleh buat pemotongan 30 atau 20 peratus dengan pasukan sekarang. Tapi kalau tak nak bincang mungkin lebih daripada 30 peratus kena potong nanti.

“Contoh lain macam negara Australia. Kerajaan mereka ada menyediakan bantuan berbentuk kewangan kepada rakyatnya, jadi kelab-kelab bola sepak Australia hanya tambah-tambah sikit ke akaun pemain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Terdahulu, FAM pada Khamis lalu meminta semua pihak agar akur dengan garis panduan Fifa yang dikeluarkan bagi bersama-sama menangani impak ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19.

Beberapa langkah dicadangkan FAM seperti pasukan perlu berbincang terus dengan pemain serta kakitangan teknikal melalui satu perjanjian bersama.

Selain itu, Windsor turut meluahkan rasa hairannya dengan pendirian Pfam yang enggan membuka meja rundingan sedangkan seluruh dunia ketika ini berhadapan krisis yang sama.