MIMPI ‘ngeri’ atlet tukul besi negara Jackie Wong berakhir apabila keputusan sampel ujian kali ketiga yang diambil pada 28 Mac lalu menunjukkan keputusan negatif.
Hal ini bermakna tahap kesihatan atlet berkenaan yang kini dirawat di di Hospital Sibu, Sarawak, semakin menunjukkan perkembangan positif seterusnya perlu melalui satu lagi ujian terakhir yang untuk menentukan beliau bebas dari jangkitan berkenaan atau sebaliknya.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah melakukan tiga kali proses sanitasi terutama di kawasan atau kemudahan yang dikunjungi Jackie.
“Sememangnya harapan kita tiada lagi jangkitan membabitkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan terus ke hospital mahupun pejabat kesihatan yang berdekatan jika terdapat simptom berkaitan Covid-19.
“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program yang sudah ditetapkan masing-masing. Semua atlet dan jurulatih serta pegawai sukan diminta untuk mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,’ katanya, di sini.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Jackie Wong menjadi atlet pertama didapati positif Covid-19.
Jackie dipercayai dijangkiti penyakit terbabit menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.
Selain itu, beliau berkata, seramai 107 pegawai sukan dan atlet dikuaratin sebelum ini dan 86 orang sudah menjalani ujian sama ada melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau swasta.
“Semua keputusan menunjukkan negative manakala baki 21 individu yang tidak perlu melakukan ujian juga disahkan bebas dari proses ‘kuarantin rumah’ apabila tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.