KESATUAN Bola Sepak Eropah (Uefa) memperuntukkan sebanyak 236.5 juta Euro (RM1.1 bilion) kepada semua 55 persatuan di bawah badan induk itu bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi kerana pandemik Covid-19.

Setiap persatuan bola sepak kebangsaan dijangka akan menerima sebanyak 4.3 juta euro (RM20.29 juta).

Peruntukan itu adalah daripada program HatTrick Uefa yang ditubuhkan pada 2004 bagi menyokong projek pembangunan setiap ahli gabungannya. Program berkenaan dijangka menyalurkan 2.6 bilion Euro (RM12.3 bilion) sehingga 2024 kata Uefa.

“Sukan bola sepak berdepan situasi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana krisis Covid-19.

Uefa mahu membantu ahlinya menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cara terbaik berdasarkan situasi semasa.” kata Presiden Uefa, Aleksander Ceferin.

“Untuk itu, kami bersetuju untuk memberikan 4.3 juta Euro (RM20.29 juta) kepada setiap persatuan yang dibayar bagi baki musim ini dan musim depan.

“Ini juga sebahagian daripada pelaburan yang boleh digunakan oleh ahli untuk membangunkan komuniti bola sepak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19