SURAT penamatan kontrak pemain Perlis United tidak sah serta dianggap menyalahi peraturan dan jika jika disabitkan kesalahan kelab berkenaan boleh menerima nasib sama seperti Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang digantung keahliannya.
Menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, penamatan kontrak perlu dibuat dengan persetujuan bersama antara majikan dan pemain tanpa desakan tertentu seperti tekanan tidak diberikan gaji terhadap pemain.
Sekiranya wujud tekanan seperti itu, tandatangan pemain di atas surat yang disediakan oleh pihak lain boleh dicabar, sekali gus mengheret pihak pengurusan ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tindakan susulan.
“Surat yang ditandatangani itu boleh jadi tak sah, sebab surat mesti ditandatangani dengan pemahaman yang sama tanpa sebarang unsur paksaan dan surat penamatan kontrak tersebut seharusnya dibuat sendiri oleh pemain dan pegawai bukan disediakan kelab.
“Apabila dapat buktikan surat itu ditandatangani dengan niat yang lain, jadinya surat itu boleh terbatal. Walaupun pemain dah sain pada surat seolah menyatakan persetujuan, pemain didorong di mana mereka tidak akan dapat gaji kalau tak sain surat itu. Kalau dalam keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini orang tak ada duit nak makan, jadi mungkin terpaksa sain untuk teruskan kelangsungan hidup. Ini jelas satu paksaan.
“Contoh lain, kalau orang tunjuk surat nak beli rumah dan orang itu letak pistol atas kepala kita, dah tentu akan sain surat itu untuk teruskan kehidupan daripada rumah. Jadi ia bersifat paksaan atau ugutan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Terdahulu, menerusi pendedahan eksklusif akhbar ini minggu lalu, pemain dan pegawai Perlis United mendakwa ditamatkan kontrak dengan cara salah tanpa sebarang notis awal.
Malah, pemain turut diugut untuk menurunkan tandatangan dalam surat yang bertajuk ‘Penamatan Perjanjian Secara Sukarela’ yang disediakan oleh pengurusan kelab.
Walau bagaimanapun, pemain hanya dibayar separuh manakala salinan kontrak tidak diberikan oleh pihak pengurusan kepada pemain dan pegawai.
“Asasnya kontrak haruslah dihormati tak kisahlah kontrak itu enam bulan ke atau setahun. Mesti dihormati oleh kedua-dua belah pihak, tapi apabila salah satu pihak itu tidak hormati, ia akan jadi pecah kontrak. Bila dah jadi macam itu, dalam arena bola sepak ia akan diputuskan kemudian oleh Jawatakuasa Status FAM, tapi dengan tindakan yang dibuat kelab ataupun subjek berkenaan, ia menunjukkan adanya niat jahat,” katanya.