KETUA Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo, Toshiro Muto mengakui terdapat kemungkinan besar untuk Sukan Olimpik tidak dapat dianjurkan tahun depan.
Bulan lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung semula bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos 2021 berikutan pandemik Covid-19.
“Saya rasa tidak ada mana-mana pihak dapat menyatakan segala-galanya berada dalam keadaan terkawal pada Julai tahun depan atau sebaliknya,” kata Muto.
“Kami sememangnya tidak berada dalam kedudukan untuk memberikan jawapan yang jelas kepada anda.
“Kami sudah pun membuat keputusan untuk menangguhkan temasya itu pada tahun depan. Bermakna apa yang kita semua lakukan adalah bekerja keras untuk menganjurkan temasya itu.
“Kami amat berharap menjelang tahun depan, kita semua dapat mengatasi krisis Covid-19 ini,” katanya.
Muto berkata, jika vaksin ditemui untuk rawatan wabak itu, ia akan menjadi kunci utama kepada penganjuran Olimpik.
“Daripada berfikir mengenai pelan alternatif, kita semua harus bekerja keras bagi membolehkan pihak berkenaan membangunkan rawatan, perubatan dan vaksin,” kata Muto ketika ditanya sama ada mereka mempunyai Pelan B jika Sukan Olimpik Tokyo tidak dapat dilangsungkan pada tahun depan.