“SEMANGAT untuk beraksi di padang itu masih membara kerana kami baru saja melalui empat perlawanan liga, rasa terkilan jika Liga Malaysia musim ini berakhir lebih awal,” kata penyerang Negeri Sembilan, Muhammad Nazrul Kamaruzaman.
Pemain berasal dari Selangor berusia 27 tahun itu berkata, dia mengharapkan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dapat diteruskan semula sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berakhir.
Menurutnya, semangatnya untuk membantu Negeri Sembilan meraih kejayaan musim ini dan kembali layak ke saingan Liga Super musim hadapan adalah tinggi, malah ia menjadi KPI (petunjuk prestasi utama) baginya musim ini.
Katanya, bagaimanapun impiannya membantu menjulang nama Negeri Sembilan belum dapat dipastikan apabila kedudukan Liga M belum dapat ditentukan lagi selepas ditangguhkan bermula 16 Mac lalu.
“Sebagai pemain bola sepak profesional, keinginan untuk beraksi di padang itu sentiasa tinggi kerana ia menjadi matlamat utama bagi membantu pasukan meraih kejayaan sepanjang musim.
“Saya fikir semua pemain yang menyarung jersi pasukan mempunyai matlamat yang sama kerana amanah itu diletakkan pada bahu pemain untuk menjulang nama pasukan disertai.
“Bagaimanapun, impian itu belum dapat dipastikan lagi sebaik liga terhenti kerana negara dan dunia dilanda wabak Covid-19, malah setakat ini kedudukan liga juga belum pasti atau mungkin akan berakhir lebih awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nazrul yang musim pertama bersama skuad Hobin Jang Hobin berkata, hasratnya bersama skuad bimbingan Sazali Saidun itu adalah untuk membantu meletakkan kembali Negeri Sembilan sebagai sebuah pasukan disegani seperti yang pernah mereka capai sebelum ini.
Bekas pemain Selangor United itu berkata, menerusi bimbingan barisan kejurulatihan pasukan terutama ketua jurulatih Sazali Saidun, dia sudah dapat membentuk kekuatan baharu di barisan depan bersama penyerang import Jose Almir Neto, Igor Luiz dan Mohd Fauzi Latif.
“Saya sudah mula mendapat rentak terbaik dan keyakinan tinggi bersama barisan depan pasukan di atas kepercayaan diberikan oleh ketua jurulatih, tetapi apakan daya perjalanan liga terhenti angkara wabak Covid-19 ini.
“Semua pemain rasa terkilan tetapi kami kena terima hakikat kerana wabak Covid-19 amat merbahaya dan boleh membawa maut.
“Kita harus menungggu dengan penuh sabar mengenai pengumuman oleh pihak berwajib sama ada liga musim ini akan dapat disambung atau sebaliknya,” katanya yang terus menjalani latihan kecergasan di rumah keluarganya di Rawang Selangor.