PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedia memperhalusi dan mempertimbangkan klausa Force Majeure untuk dimasukkan dalam kontrak pemain Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dan senario ini secara tidak langsung menampakkan ada beberapa bahagian dalam kontrak pemain yang perlu diberi penambahbaikan di masa hadapan.

Katanya, kajian mendalam harus dijalankan bersama semua pemegang taruh termasuk pasukan dan wakil pemain terdiri daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesionall Malaysia (PFAM) adakah ia sesuai untuk dimasukkan ke dalam kontrak perjanjian pemain khususnya apabila berlaku bencana, darurat atau keadaan luar jangka.

“Perkara ini adalah pengalaman baharu kepada kita (FAM) dan saya kira ia boleh diperhalusi apabila kita sudah kembali beroperasi seperti biasa nanti.

“Namun Force Majeure ini kita perlu meneliti dan mengkaji untuk melihat kriteria atau objektif yang lebih tepat bagi dimasukkan ke dalam kontrak pemain. Selain maklum balas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC.

“Bukan kita saja tidak ada klausa Force Majeure ini, negara-negara lain juga mungkin mengalami situasi sama kerana kita mengambil templete kontrak yang diedarkan FIFA. Jadi sebarang perubahan, harus dikaji secara mendalam dan mendapat kelulusan FIFA,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Laporan Harian Metro semalam, mendedahkan kelonggaran dalam kontrak pemain Liga-M menyaksikan hasrat pasukan untuk memotong atau menstruktur semula gaji pemain tidak kesampaian dalam menangani isu kewangan berikutan wabak Covid-19.

Tinjauan mendapati kesemua kontrak pemain tiada klausa Force Majeure atau dalam bahasa mudahnya – perkara berkaitan bencana di luar kawalan manusia – membolehkan majikan diberi punca kuasa untuk tidak membayar gaji pemain sepanjang tempoh musibah itu.

Ujar Stuart lagi, kajian menyeluruh amat penting kerana bimbang klausa terbabit boleh di salah ertikan oleh sesetengah pihak.

Force Majeure ini kadang-kadang boleh membawa makna dan pengertian yang pelbagai. Contohnya, adakah masalah jerebu juga kita boleh kaitkan dengan Force Majeure atau hujan lebat juga diertikan dengan klausa itu.

“Jadi kita kena sesuaikan istilah Force Majeure dengan suasana dan budaya bola sepak Malaysia supaya ia memberi kebaikan secara adil kepada semua pihak termasuk pemain, pasukan dan peminat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan