BALINGAN bola ke dinding antara rutin harian yang dilakukan penjaga gol Pahang, Sharbinee Allawee Ramli bagi memperkemaskan teknik tangkapan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Selain itu, bekas penjaga gol kebangsaan itu turut melakukan latihan sama ada pada waktu pagi atau petang dalam usaha mengekalkan kecergasan.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan latihan harian yang dilakukan di rumah biarpun ia tidak sama seperti sesi latihan bersama pasukan.

“Tapi, semuanya dilihat positif sepanjang dua minggu ini sejak PKP dan saya melakukan yang termampu untuk mengekalkan prestasi.

“Sebagai pemain, saya perlu kekal cergas dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa sebaik PKP berakhir nanti,” katanya.

Ditanya misi sebaik PKP berakhir dan saingan Liga Super kembali bersambung, Sharbinee akan memastikan skuad Tok Gajah dapat mempamerkan prestasi lebih baik.

Katanya, dua kemenangan berturut-turut sebelum liga ditangguhkan diharap membantu untuk mengekalkan pencapaian itu.

“Sudah pasti kami mahu meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik dan komitmen serta kerjasama keseluruhan pasukan diperlukan untuk direalisasikan.

“Peningkatan dari segi prestasi selepas memulakan saingan liga dengan dua kekalahan berturut-turut sebelum melakar kemenangan memerlukan kami mempertingkatkan persefahaman,” katanya.

Selepas mengharungi empat perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh itu mengutip enam mata iaitu berada di kedudukan ketiga di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim dengan 10 mata manakala Perak di tangga kedua dengan lapan mata.