KETUA Eksekutif West Ham, Karren Brady mendakwa tarikh penyambungan semula aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) masih lagi samar walaupun pasukan yang bertandig berharap ia dapat diadakan pada Jun depan.

EPL berkata semalam, mereka masih lagi berharap mampu melengkapkan baki 92 perlawanan namun krisis Covid-19 yang masih lagi membelenggu menyebabkan tidak ada sebarang jadual baru setakat ini.

West Ham setakat ini berada di atas zon penyingkiran dengan hanya dibezakan melalui perbezaan gol dan berbaki sembilan perlawanan.

“Pemain masih mampu untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka dengan melakukan latihan di rumah. Bagaimanapun, jika peraturan penjarakan sosial masih dikuatkuasakan, kita tidak dapat melakukan latihan permainan fizikal. Anda tidak boleh menerjah pemain dengan jarak dua meter,” katanya.

Ketika hampir semua pasukan mempunyai baki sembilan perlawanan, mesyuarat semalam membabitkan 20 pasukan berbincang untuk menghabiskan saingan musim ini dalam tempoh 40 hari.

Ada yang mendakwa semua pasukan diminta menghabiskan saingan domestik musim ini sehingga hujung Julai dan kempen 2020/21 perlu dimulakan pada minggu pertama September.

Bagaimanapun, Brady merasakan persoalan mengenai latihan, menguji pemain, protokol kebersihan dan kesihatan harus diselaikan terlebih dulu.

EPL ditangguhkan sejak Mac lalu dan perintah berkurung di United Kingdom (UK) dilaksanakan sehingga 7 Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19