PENGUMUMAN tarikh baharu penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi kelegaan kepada pelumba muda negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Ini bermakna dia akan lebih bersedia dan tempoh 12 bulan sebelum Olimpik mampu menjadikannya lebih matang selain mempunyai tempoh yang cukup untuk membina jisim otot.

“Bercakap dari segi umur, semakin meningkat umur, badan saya makin semakin matang dengan kayuhan dan mungkin boleh menjadi lebih mantap. Tapi sukar juga untuk komen sebab dalam tempoh setahun sebelum Olimpik, mungkin tak ada perlumbaan, jadi itu juga satu cabaran kerana suasana perlumbaan itu penting buat pelumba,” katanya.

Bagaimanapun pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta dalam acara pecut berpasukan itu yakin, jurulatih John Beasley sudah mempunyai perancangannya untuk membantu dia bersama seorang lagi jaguh negara Azizulhasni Awang.

Malaysia akan mengibar cabaran benua Asia di Sukan Olimpik 2020 bersama tuan rumah Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, China dan Kazakhstan dan daripada lima negara Asia itu, hanya Malaysia, Jepun dan Hong Kong meraih dua tiket maksimum dalam acara keirin serta pecut.

Shah Firdaus akan mengiringi Azizul ke Olimpik buat kali pertama selepas Malaysia mendapat dua slot – masing-masing satu dalam keirin dan pecut dengan istilahnya ialah ‘by nation’.

Kata Shah lagi, tempoh masa yang ada ini memberi kelebihan untuk dia lebih bersedia terutama dari segi penggunaan gear bersama basikal.

“Jika ketika kejohanan dunia tempoh hari kami menggunakan kombinasi gear berbeza dari pertandingan sebelum ini dan kami hanya ada masa seminggu untuk berlatih guna gear baru itu. Tapi selepas itu kami boleh nampak perubahan dari segi catatan masa dan kayuhan.

“Jadi apabila Olimpik tunda, kami ada lebih banyak masa untuk biasakan penggunaan gear baru itu,” katanya.