WALAUPUN saingan Kejohanan Piala Dunia Orang Pekak Korea Selatan 2020

tertangguh namun pemain skuad Malaysia Deaf Tigers (MDT) tetap sentiasa bersedia dengan mengadakan latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini diakui ketua pasukannya Razilawali A Wahab yang berpendapat kecergasan sentiasa diberi keutamaan walaupun tidak dapat turun mengadakan latihan di padang.

Menurutnya, bagi mengekalkan kecergasan, dia meluangkan masa sejam sehari untuk mengadakan latihan di rumah dengan melakukan pelbagai teknik senaman yang sesuai sebagai pemain bola sepak.

Katanya, sepatutnya kini skuad MDT sedang mengikuti latihan pusat dibawah bimbingan jurulatih kelahiran Thailand, Manachai Sitthisarn yang berpengalaman luas membimbing pasukan negara di peringkat antarabangsa.

“Pasukan MDT perlu tampil dengan semangat juang yang tinggi dipentas Piala Dunia Orang Pekak Korea Selatan selepas menduduki tangga ke enam pada Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia Pasifik di Changwon, Korea Selatan 2018.

“Pertama kali dapat beraksi dipentas Piala Dunia merupakan suatu yang paling istimewa, lebih manis lagi pulang dengan kejayaan membanggakan,” kata pemain kelahiran Kampung Seri Fajar, Kuantan.

Razilawali yang kini bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, selepas 12 tahun mewakili negara di pentas antarabangsa banyak kejayaan dikecapi antaranya penjaring terbanyak Kejohanan Bolasepak Orang Pekan Asean di kuala lumpur 2016 dan penjaring terbanyak Kejohanan Bolasepak Orang Pekak Asia Pasific di Changwon, Korea Selatan 2018.

Dipentas kebangsaan katanya, dia pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Kejohanan Bolasepak Orang Pekak Malaysia 2019 selain beberapa kejayaan lain bersama pasukan orang normal peringkat negeri.