PENGARAH Ikhwansha Hazer reda namun bersetuju dengan keputusan melarang pembukaan panggung wayang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru -baru ini.

Ikhwansha atau Ikhwan yang mengarahkan filem Escape berkata, tiada keperluan untuk tergesa-gesa menayangkan filem di panggung berikutan wabak Covid-19 masih membimbangkan di negara ini.

“Saya rasa itu adalah yang sebaiknya, memandangkan wabak Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya di negara kita. Kalau buka panggung sekarang pun, saya rasa tidak akan ramai pengunjung sebab mereka pasti masih takut dan risau untuk pergi.

“Kita tak perlu nak tergesa-gesa sebenarnya untuk mulakan balik sebarang aktiviti sosial seperti pergi ke panggung wayang, pusat beli-belah, bersukan, dan sebagainya. Takut kita kena impak gelombang seterusnya macam yang jadi di negara Jepun.

“Pada pendapat saya, segala aktiviti dan perniagaan sebaiknya harus dimulakan selepas negara betul-betul berada dalam tahap diisytiharkan zon hijau ataupun zon selamat daripada wabak Covid-19 ini,” katanya.

Ikhwan juga memaklumkan pihaknya masih mencari tarikh terbaik untuk menayangkan Escape yang sepatutnya ditayang pawagam pada 26 Mac lalu.

“Buat masa ini, kami akan sabar menunggu perbincangan dengan pihak Skim Wajib Tayang untuk sama-sama dapatkan tarikh tayangan yang dirasakan sesuai dan selamat,” katanya.

Terdahulu, produksi itu memutuskan untuk menunda tarikh tayangan filem terbabit berikutan penularan Covid-19. Ini berikutan, sektor panggung wayang turut terjejas akibat pandemik berkenaan selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

Filem Escape yang bergenre ‘Cerebral Thriller’ itu dibintangi Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Datuk Jalaluddin Hassan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan