TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir sebulan bagi membendung penularan wabak Covid-19 memberi ruang kepada penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim, 19, untuk pulih daripada kecederaan bahu yang dialaminya.

Namun pemain yang membantu skuad Piala Belia Terengganu menjuarai piala di bawah kendalian Subri Sulong musim lalu, akui tempoh rehat itu bukan alasan buatnya untuk berpeluk tubuh.

Sebaliknya anak pemandu bot pelancongan di Pulau Redang yang menetap di Kampung Telaga Papan, Setiu itu menghabiskan masa lebih sejam sehari untuk mengekalkan kecergasan selain melakukan senaman untuk menguatkan bahunya.

Permata baharu Terengganu yang memiliki ketinggian 1.90 meter itu yang mengalami kecederaan ketika pasukannya menumbangkan Kedah 4-3 pada aksi kedua Liga Super awal Mac lalu.

Muhammad Rahadiazli berkata, kecederaannya kini semakin pulih dan sudah bersedia untuk kembali menjaga gawang skuad Penyu sebaik liga bersambung semula.

“Tempoh PKP ini memberi peluang kepada saya untuk kembali pulih daripada kecederaan bahu akibat bertembung dengan pemain pertahanan sendiri, Babacar Diallo ketika cuba menyelamatkan gawang daripada dibolosi pemain lawan.

“Setiap hari saya meluangkan masa lebih sejam melakukan latihan untuk mengekalkan kecergasan bagi memastikan sentiasa cergas sebaik liga bersambung semula nanti.

“Rutin harian saya akan melakukan balingan bola ke dinding untuk memperkemas lagi teknik tangkapan bola, selain turut menggunakan peralatan sedia ada di rumah termasuk guna tali (skipping), bangkit tubi menggunakan besi untuk menguatkan lagi bahagian bahu yang cedera.

“Saya turut melakukan teknik lompatan untuk meningkat lagi kekuatan menangkap dan menepis bola di udara kerana tugas penjaga gol adalah untuk menghalang bola daripada dibolosi,” ujar Adi yang menjadikan penjaga gol Manchester United, David de Gea dan penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid sebagai idolanya.

Ketika ditanya adakah dia setuju jika Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan musim ini susulan wabak pandemik itu, penjaga gol yang baharu mendapat dua ‘caps’ dalam saingan liga utama negara itu menyatakan perlu melihat situasi semasa selain ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.

“Kita perlu lihat situasi semasa penularan wabak pandemik Covid-19 itu, jika pihak kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat semuanya selamat dan wabak itu sudah dapat dibendung bagi saya bolehlah diteruskan liga,” katanya.