MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyambut baik penundaan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 demi keselamatan dan kesihatan semua pihak terutama atlet.

Menurut Ketua Pengarah MSWP, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, beliau berpandangan kesihatan dan keselamatan atlet perlu dititiberatkan berikutan seluruh dunia diancam pandemik Covid-19.

“Lagi pun kebanyakkan atlet tidak boleh berlatih seperti biasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penangguhan ini juga memberi peluang tuan rumah melakukan persiapan dengan rapi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Hasnul Faizal, walaupun tarikh baru (6-14 Mac 2021) sudah diketahui beliau tetap mengharapkan atlet Wilayah Persekutuan terus melakukan latihan fizikal di kediaman masing-masing untuk mengekalkan tahap kecergasan.

“Kami sudah menyediakan panduan kepada atlet yang melakukan latihan fizikal di rumah. Dalam masa sama kami juga mengambil maklum mengenai kesan latihan itu sendiri.

“Setakat ini kami sedang merancang dan menyediakan garis panduan untuk mereka meneruskan latihan seperti biasa,” katanya.

Ditanya mengenai penangguhan itu bakal menjejaskan persiapan Wilayah Persekutuan, Hasnul Faizal mengakui semua kontinjen meletakkan sasaran untuk melihat atlet berada pada puncak prestasi Julai ini.

“Kalau ikut jadual asal, Sukma Johor akan berlangsung Julai ini, namun selepas perubahan tarikh kami perlu menjalankan pendekatan yang menjurus aspek mental atau psikologi.

“Kami mahu tahap psikologi dan semangat berjuang yang ada pada diri masing-masing tetap diteruskan seperti biasa walaupun sudah melakukan persediaan awal.

“Saya berharap atlet Wilayah Persekutuan meneruskan latihan seperti biasa, dalam keadaan mental yang baik walaupun berdepan dengan rintangan,” katanya.

Dua tahun lalu di temasya yang sama, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di tempat kedua mengumpul 52 emas dan hanya dibezakan empat pingat dengan juara, Terengganu.

Hasnul Faizal mengakui Wilayah Persekutuan masih bersandarkan kepada beberapa acara pilihan seperti gimrama, kriket, angkat berat, boling padang dan rabgi wanita.