BINTANG Uruguay, Luis Suarez mengakui tersinggung berikutan kritikan yang mendakwa dia dan rakan sepasukan di Barcelona mengambil masa yang lama untuk bersetuju memotong gaji bagi membantu kakitangan kelab yang lain.

Isnin lalu, bintang Argentina, Lionel Messi mengumumkan pemain Barcelona bersetuju memotong 70 peratus gaji mereka bagi memastikan kakitangan kelab yang lain menerima gaji penuh berikutan situasi semakin serius di Sepanyol susulan krisis pandemik Covid-19.

Pemain bola sepak di seluruh liga utama Eropah dikecam selepas segelintir kelab memotong gaji kakitangan ketika pemain yang menerima gaji lumayan tidak terkesan dengan krisis yang melanda itu.

“Sesuatu yang mengecewakan kerana kami adalah yang pertama mahukan persetujuan dicapai berhubung perkara ini (pemotongan gaji),” kata Suarez kepada stesen radio Uruguay, Sport890.

“Kami sedar situasi yang dialami kelab dan keadaan yang dihadapi seluruh dunia ketika ini.

“Namun, orang ramai bercakap seperti kami pemain tidak mahu bertolak ansur selepas pemain bola keranjang dan bola baling mencapai persetujuan.

“Kami tidak mencapai persetujuan awal kerana kami mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kelab, diri kami dan cuba membantu kakitangan kelab yang lain.”

Suarez masih berada di Sepanyol, berbeza dengan rakan senegara lain antaranya Edinson Cavani dan Diego Godin yang menggesa Uruguay untuk melaksana perintah berkurung.

“Ia adalah jalan penyelesaian terbaik untuk semua orang. Saya sedar ia sukar dilaksanakan di Uruguay… tetapi jika kita tidak bersatu hati, ia adalah sukar untuk mengatasi situasi ini,” katanya.