SEKOLAH Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) tetap meneruskan sesi latihan kepada atlet mereka walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, latihan berkenaan diadakan secara ‘virtual traning’ atau secara maya di kediaman atlet masing-masing bagi memastikan mereka tetap kekal cergas dan berdaya saing meskipun dalam tempoh PKP.

Pengetua SSMT, Huszaidi Hussin berkata, inisiatif dilakukan itu adalah kaedah terbaik bagi meningkat kemahiran selain atlet itu sendiri kekal cergas serta berdisiplin sepanjang tempoh PKP.

“Melalui latihan secara maya ini setiap jurulatih perlu menyediakan modul latihan secara spesifik bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka selain kemahiran bagi setiap atlet. “Jurulatih sediakan modul dengan menggunakan pelbagai platform digital atau media sosial yang ada seperti ‘google classroom’, Facebook, Telegram untuk disampaikan kepada atlet sebelum atlet melaksanakan modul latihan tersebut sambil dipantau jurulatih melalui platform digital berkenaan.

“Tambahan pula kita menggunakan ‘google form’ yang perlu diisi jurulatih dan atlet sebagai bukti pelaksanaan modul itu berjalan dengan baik dan lancar.

“Data berkenaan akan dilihat dan dinilai secara mingguan oleh guru sains sukan, ketua bidang sukan dan pengetua bagi melihat penglibatan, impak modul dan latihan secara maya yang telah dilakukan.”

Saya yakin dan percaya melalui kaedah latihan secara maya ini atlet mampu melakukan dengan baik dan berdisiplin kerana ia dipantau setiap guru dan jurulatih yang berkenaan selain ibu bapa mereka turut memainkan peranan bagi anak mereka berdisiplin melakukan program yang sudah dirancang oleh SSMT, ” ujarnya.