PEMAIN tengah FELDA United FC, Shahrul Aizad Zulkifli menyambut baik inisiatif kelab itu mengadakan latihan secara atas talian secara langsung dalam kalangan pemain.

Pemain berasal dari FELDA Bukit Goh, Kuantan itu bersetuju dengan kaedah latihan yang dilaksanakan dalam usaha membantu mengekalkan stamina semua pemain The Fighters.

“Sudah pasti saya gembira apabila ia dibuat secara langsung bersama tujuh hingga sembilan pemain dalam satu masa yang banyak membantu melakukan latihan dengan lebih baik.

“Latihan sepanjang tempoh 45 minit itu bukan saja meningkatkan kecergasan, malah membantu melakukan latihan mengikut tips yang diberikan jurulatih kecergasan.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan tahap kecergasan dan jika tidak melakukan latihan secara atas talian, saya mengikut arahan seperti yang diberikan sekiranya secara individu,” kata pemain tengah itu.

Shahrul atau lebih dikenali sebagai Cotang berkata, pemakanan yang seimbang turut diberi keutamaan untuk memastikan berat badan tidak bertambah sebaik kembali bersama pasukan.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), latihan harian sejam sehari akan dilakukan dan mengikut segala arahan yang diberikan.

“Selain itu, segala arahan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengamalkan kebersihan dan kekal di rumah dipatuhi,” kata pemain berumur 27 tahun itu.