MENTERI Sukan Itali, Vincenzo Spadafora memberi amaran supaya negara itu mengikuti langkah Perancis dan Belanda serta menggesa musim bola sepak dan sukan lain ditamatkan susulan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, Ketua Persekutuan Bolasepak Itali, Gabriele Gravina memberi amaran keputusan itu sebagai petanda kematian bola sepak Itali.

“Saya lihat harapan tipis untuk menyambung kembali kejohanan. Jika saya presiden kelab, saya lebih memikirkan kejohanan akan datang yang lebih selamat bermula penghujung Ogos,” kata Spadafora kepada stesyen TV ITali, channel La 7, awal pagi tadi.

“Keputusan negara lain seperti Perancis semalam boleh mengheret sekali Itali,” katanya.

Di Perancis, Perdana Menteri, Edouard Philippe mengumumkan bola sepak profesional, ragbi dan sukan lain tidak boleh berlangsung sehingga tamat musim panas walaupun menteri sukan kemudiannya memberitahu perlawanan boleh diadakan secara tertutup pada Ogos.

Persekutuan Bolasepak Belanda menamatkan musim 2019-2020 minggu lalu.

“Saya fikir mesyuarat Lega Serie A akan ada kejutan,” kata Spadafora dengan kelab utama Itali akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

“Majoriti kelab boleh meminta kami menggantung musim ini dan bersiap sedia dengan kejohanan seterusnya.”

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bolasepak Itali, (FIGC), Gravina memberi amaran beliau tidak akan menyetujui penamatan musim ini yang dianggap ‘kematian bola sepak Itali’.

“Masa memihak kami,” kata Gravina yang menganggarkan persekutuan itu bakal kerugian sehingga 800 juta euro (RM3.7 bilion) jika musim ini dihentikan.

Bola sepak di Itali tergendala sejak 8 Mac lalu susulan virus Covid-29 yang membunuh 27,000 nyawa di negara itu.

Kerajaan membenarkan atlet individu meneruskan latihan tetapi sukan berpasukan termasuk bola sepak perlu menunggu sehingga 18 Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19