PERSATUAN Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur (PPSHKL) yang menaungi pasukan Hockademy memohon Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyegerakan pembayaran wang hadiah kemenangan saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 yang tamat pada 22 Feb lalu.

Menurut PPSHKL dalam kenyataan hari ini, wang hadiah kemenangan itu dapat membantu mengurangkan beban pemain yang terkesan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Mengambil kira situasi sukar dan perlaksanaan PKP yang menghadkan perjalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup, PPSHKL berharap MHC dapat melunaskan pembayaran dalam tempoh terdekat bagi memastikan kebajikan pemain terjaga kerana ada antara mereka hanya bermain separuh masa.

“Rata-rata pemain tertanya-tanya bilakah pembayaran itu akan dilakukan selepas hampir dua bulan tanpa khabar berita,” menurut kenyataan PPSHKL.

Skuad wanita Hockademy memahat sejarah tersendiri apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 pada penyertaan sulung mereka selepas membelasah wakil Pulau Pinang, Mutiara Impian 13-0.

Selain memenangi saingan liga, Hockademy yang mendapat sentuhan jurulatih Iman Gobinathan juga muncul naib juara Piala Vivian May Soars 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan