LIONEL Messi tidak bersetuju dengan Jurgen Klopp berhubung pemain pilihan pengurus Liverpool itu yang sepatutnya memenangi Anugerah Ballon d’Or musim lalu.

Klopp sebelum ini secara terbuka berkata Virgil van Dijk berhak untuk memenangi anugerah itu, pendapat yang dikatakan melukakan hati Sadio Mane.

Bagaimanapun Messi yang memenangi anugerah itu sebanyak enam kali percaya Mane adalah pemain terbaik Liverpool sepanjang musim lalu.

“Agak mengecewakan menyaksikan Mane menduduki tempat keempat pada tahun lalu,” kata Messi kepada media Sepanyol.

“Saya rasa ramai pemain yang bagus pada tahun ini. Sebab itu sukar untuk memilih pemain terbaik tetapi saya memilih Mane kerana dia adalah pemain yang saya gemari.

“Sebab itulah saya memilihnya. Sekali lagi saya ulangi, ramai pemain yang hebat pada tahun ini, jadi sukar untuk membuat pilihan,” katanya.

Mane dikatakan akan meninggalkan Liverpool pada pintu perpindahan pemain dengan Real Madrid berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pengendali Real, Zinedine Zidane dilaporkan menjadikan Mane sebagai sasaran utamanya dan bersedia berbelanja besar untuk pemain antarabangsa Senegal itu.