PENGARAH Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc tidak percaya mana-mana kelab akan mengambil risiko melakukan pelaburan besar mendapatkan Jadon Sancho pada tahun ini.

Bintang England, Sancho dikaitkan dengan Manchester United dan Chelsea berikutan musim yang luar biasa di Bundesliga.

Dilaporkan pemain berusia 20 tahun dikenakan yuran pelepasan sekurang-kurangnya 100 juta Euro (RM473.24 juta) untuk memujuk Dortmund menjualnya.

Bagaimanapun, dengan keadaan kewangan kelab di seluruh dunia yang turut dipengaruhi pendapatan berikutan saingan bola sepak dihentikan kerana pandemik Covid-19, kemungkinan untuk melihat Sancho meninggalkan kelab itu dengan bayaran tinggi dapat dikurangkan.

Naib Ketua Eksekutif United, Ed Woodward menyatakan minggu lalu cadangan sembilan angka keseluruhan dibayar untuk pemain pada 2020 sudah diabaikan “realiti yang perlu dihadapi sukan bola sepak”, ketika Red Devils turut dikaitkan mendapatkan penyerang Tottenham, Harry Kane.

Zorc, juga dilihat seperti menjangkakan Sancho sukar dimiliki sekalipun membabitkan kelab terkaya, sambil mendedahkan Dortmund kekal ‘tenang’ mengenai situasi itu.

“Tiada perkembangan terbaru mengenai situasi [Sancho],” katanya kepada Sport1.

“Buat masa ini, tiada kelab yang akan mengambil risiko untuk melakukan pelaburan besar untuk mendapatkan pemain – juga tidak di England.

“Kami mempunyai kontrak jangka panjang bersama Jadon Sancho dan disebabkan itu kami sangat tenang.”

Sancho berjaya meledak 14 gol dan membantu menghasilkan jaringan sebanyak 15 kali dalam penampilan awal di 23 perlawanan Bundesliga musim 2019-20. Kontrak Sancho dijadualkan tamat sehingga 2022.