PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino berkata ‘tiada perlawanan’ lebih bernilai ‘berbanding risiko nyawa seorang manusia’ dan badan induk itu akan membantu persekutuan kebangsaan yang menghadapi masalah kewangan ketika pandemik Covid-19.

Hampir kesemua liga bola sepak di seluruh dunia dan pertandingan antarabangsa ditangguhkan berikutan Covid-19 ketika ini.

Infantino menegaskan aksi liga tidak akan bersambung sehinggalah situasi benar-benar selamat.

“Prinsip serta perkara yang kami terapkan dan menggalakkan orang ramai untuk mengikutinya ialah kesihatan perlu diberi keutamaan.

“Saya tidak perlu lagi memberi penekanan mengenainya. Tiada perlawanan, tiada pertandingan, tiada liga yang lebih berharga daripada nyawa seorang manusia,” katanya menerusi pesanan video.

Aksi Bundesliga Jerman dilaporkan akan kembali bersambung secara tertutup pada Mei dengan pemain sudah pun menjalani latihan manakala liga lain juga mungkin akan bersambung pada musim panas.

“Adalah tindakan tidak bertanggungjawab untuk memaksa pertandingan diteruskan jika segala-galanya belum 100 peratus selamat.

“Jika kita perlu menunggu lebih lama, maka kita harus mengikutinya. Adalah lebih baik untuk menunggu sedikit masa lagi berbanding mengambil sebarang risiko,” katanya.

Infantino berkata, persatuan bola sepak kebangsaan yang bergelut dengan masalah kewangan akan menerima bantuan daripada dana bantuan kecemasan FIFA.