VALENTINO Rossi berkata, pengalaman pertamanya beraksi dalam perlumbaan virtual MotoGP adalah sangat pelik namun dia berasa seronok bersaing bersama beberapa seteru utama yang biasanya ditemui pada perlumbaan sebenar.
Pelumba veteran berusia 41 tahun itu pada mulanya diumumkan akan beraksi dalam edisi pertama perlumbaan virtual MotoGP tetapi kemudian menarik diri sebelum kembali untuk perlumbaan kedua dan melengkapkan saingan 10 pusingan di Red Bull Ring yang terdapat di dalam permainan video MotoGP19.
Rossi yang dilihat salah seorang pelumba paling kurang berpengalaman dalam perlumbaan virtual MotoGP itu, bermula di petak ke-10 sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.
Francesco Bagnaia muncul pemenang di depan rakan sepasukan Rossi, Maverick Vinales.
“Beraksi di MotoGP menerusi permainan PlayStation amat janggal untuk saya. Ia adalah pengalaman baru.
“Saya gemar beraksi di dalam talian bersama rakan-rakan tetapi saya lebih kompetitif bersaing membabitkan perlumbaan empat roda. Apapun saya berasa seronok dan dapat memberi saingan,” katanya.
Ketika Rossi kekal bersemangat untuk kembali beraksi pada perlumbaan sebenar, dia menggesa kesemua peminat MotoGP untuk mengikuti segala arahan kesihatan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 secepat mungkin.
Ketika ini, saingan MotoGP dijangka bersambung pada 21 Jun dengan Sachsenring akan menjadi aksi pembuka tirai kategori utama itu.
“Saya berharap kesemua peminat MotoGP berada dalam keadaan baik. Kita perlu mengikuti segala peraturan kuarantin dengan tinggal di rumah bagi membolehkan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin,” katanya.