BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo bersetuju untuk dikenakan potongan gaji sekitar 3.8 juta euro (RM18.3 juta) dalam usaha untuk membantu kelab ketika pandemik Covid-19.

Juventus tidak mengumumkan secara spesifik berhubung potongan gaji itu tetapi hanya mengumumkan di laman rasmi kelab itu: “Juventus ingin memaklumkan berikutan perkembangan kesihatan global yang menganggu aktiviti sukan, kami sudah mencapai persetujuan bersama pemain dan jurulatih berhubung baki gaji musim ini.”

Difahamkan persetujuan dicapai selepas kapten kelab, Giorgio Chiellini mengadakan perbincangan dengan barisan pemain lain.

Juventus mengumumkan pemotongan gaji itu membolehkan kelab melakukan penjimatan sekitar 90 juta euro (RM434 juta).

Ronaldo sendiri meraih pendapatan 31 juta euro (RM149 juta) dan jika anggaran RM18.3 juta itu benar, barisan pemain lain akan dikenakan potonhan sebanyak 10 peratus daripada gaji mereka.

Namun ada kemungkinan pemain bergaji besar seperti Ronaldo diminta untuk dikenakan pemotongan gaji lebih banyak.

Kelab Turin itu menyaksikan tiga pemain mereka, Daniele Rugani, Blaise Matuidi dan Paulo Dybala positif Covid-19.

Itali ketika ini sedang menjalani perintah berkurung untuk membendung penularan wabak itu dan aksi bola sepak di negara itu dijangka akan ditangguhkan untuk tempoh beberapa bulan lagi.