PELARI yang mendapat julukan Usin Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mengakui betapa dia rindu untuk kembali ke trek.

Namun, arahan kerajaan yang mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar untuk dipatuhi demi keselamatan semua pihak yang mana pandemik Covid-19 perlu ditangani terlebih dahulu.

Azeem yang pernah muncul sebagai pelari terpantas dunia di bawah umur 16 tahun dalam acara 200 meter (m) berkata, biarpun banyak program tergendala namun semua itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus berlatih dan berjuang dalam arena olahraga ini. Berdasarkan keadaan semasa, Azeem sedar dan perlu menerima hakikat mungkin tiada bayangan pertandingan akan berlangsung tahun ini namun dia sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan itu.

Mengulas mengenai jadual padat tahun depan, antaranya Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Sea dan beberapa kejohanan lain yang ditunda berikutan wabak Covid-19, Azeem berkata, dia bersedia dari segi mental namun fizikal perlu digilap lebih lagi.

“Saya sudah membuat persediaan untuk menghadapi 2020 sejak 2019 dan perkara yang sama akan saya lakukan untuk tahun depan.

“Saya akan teruskan momentum ini untuk dibawa ke tahun depan jadi saya akan lebih bersedia lagipun saya masih ada banyak masa untuk memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan teknik latihan,” katanya yang meraih dua emas di Terbuka Perak dalam acara 100 dan 200m Februari lalu.

Bagaimanapun pelajar Sekolah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh itu menganggap penundaan Sukma ke tahun depan mempunyai hikmah tersendiri.

Peningkatan usia akan menjadikan dia semakin matang dalam setiap apa yang dilakukan justeru dia percaya akan kemampuannya untuk terus memberi saingan dalam apa saja kejohanan yang bakal disertainya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan