BEKAS pemain futsal Pahang dan skuad kebangsaan, Ahmad Ridzuan Abdul Halim mengakui dia semakin membiasakan diri dengan kehidupan ‘the new normal’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Ridzuan yang ketika ini menjadi penolong jurulatih skuad futsal Pahang Rangers yang bersaing dalam Malaysian Premier Futsal League (MPFL), bukan sahaja rutin seharian berubah tetapi PKP menyaksikannya menempuh banyak pengalaman baru termasuklah menjaga sendiri tiga anak perempuan berikutan isterinya turut terlibat sebagai ‘frontliner’.
“Sebenarnya apabila MPFL ditangguhkan pada 16 Mac dan kemudian PKP pula dilaksana pada 18 Mac, saya beranggapan ia mungkin sementara sahaja, tidak sangka ia akan berpanjangan untuk tempoh lebih sebulan.
“Lebih sebulan jugalah saya duduk rumah jaga anak, dapat luangkan lebih masa bersama mereka. Sebenarnya saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Kuantan, kalau diikutkan sepatutnya banyak terlibat operasi namun memandangkan tiada khidmat jagaan anak di waktu PKP dan isteri saya bertugas sebagai jururawat di Hospital Tunku Ampuan Afzan jadi saya sendiri ambil alih tanggungjawab itu.
“Dulu pergi kerja, dapat lepak minum dengan kawan. Kemudian pergi latihan pasukan, bebas. Sekarang kalau keluar sekalipun untuk hantar dan ambil isteri dari tempat kerja, dan membeli barangan keperluan. Saya percaya semua sedang melaluinya, kehidupan normal yang baru,” ujar Ridzuan.
Berbicara lanjut mengenai isterinya, Ridzuan berkata, “Isteri saya sebenarnya bertugas di wad kanak-kanak, tetapi ‘dipinjamkan’ untuk mengendalikan pesakit positif covid-19 kerana kekangan tenaga kerja.
“Rutin kerja adalah sama seperti sebelumnya, tidak banyak beza cuma cuti dibekukan, hanya ada ‘off day’ jadi saya amat memahami dan menyanjung tinggi pengorbanannya,” katanya.
Ridzuan bagaimanapun tidak menafikan kebimbangannya dengan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga.
“Dulu bila balik kerja terus jumpa anak, sekarang tidak boleh macam tu. Aspek keselamatan dan kebersihan amat ditekankan. Habis kerja isteri saya akan mandi dulu di hospital, kemudian balik masuk ikut pintu belakang, mandi sekali lagi dan kemudian barulah jumpa anak.
“Syukur setakat ini isteri dan anak-anak bebas jangkitan, yang penting kita patuhi apa arahan diberikan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.
Sebagai rekod, Ridzuan adalah bekas pemain Piala Belia dan Piala Presiden Pahang sebelum beralih ke futsal pada 2007.
Beliau juga pernah bermain bersama Melaka sebelum terjun ke bidang kejurulatihan dan berkhidmat selama empat tahun bersama Pahang Rangers.