LIVERPOOL bakal melakar rekod perpindahan dunia untuk mendapatkan penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe jika kelab itu kehilangan khidmat Sadio Mane yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid.

Zinedine Zidane sudah tidak berahsia lagi dengan keinginannya untuk mendapatkan Mane dan penyerang antarabangsa Senegal itu berada di kemuncak karier untuk mendapat pengalaman baru di Sepanyol.

Liverpool begitu terdesak untuk mengekalkan Mane dan meletakkan nilai perpindahan £150 juta (RM814 juta) jika bekas pemain Southampton itu mahu berhijrah ke Bernabeu.

Mane menandatangani kontrak baru di Anfield 18 bulan lalu sekali gus menyaksikan Reds dilihat kukuh dalam proses rundingan pemain itu.

Liverpool tidak akan mengekalkan mana-mana pemain yang tidak mahu kekal bersama kelab itu dan mungkin akan melepaskan Mane jika pemain itu mahukannya.

Difahamkan Real sudah pun mengadakan perbincangan dengan wakil Mane.

Real pada mulanya dikatakan mahu mendapatkan Mbappe tetapi jika berjaya mendapatkan Mane, ia akan menambahkan bajet mereka.

Liverpool bagaimanapun yakin mereka mampu mendapatkan Mbappe dengan rekod perpindahan dunia bernilai £250 juta (RM1.3 bilion).

Reds gagal untuk mendapatkan pemain yang dimahukan pada musim panas lalu dan mengumumkan keuntungan sekitar £54 juta (RM293 juta).

Masalah utama Liverpool ketika ini ialah komitmen untuk membayar gaji Mbappe yang dilaporkan sekitar £400,000 (RM2.1 juta) seminggu namun pada usia 21 tahun bintang Perancis itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi berbanding pemain seperti Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.