PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez, sudah lama memendam hasrat untuk membawa Neymar ke Santiago Bernabeu, kata bekas ejen penyerang Brazil itu.

Wagner Ribeiro ketika bercakap dalam rancangan ESPN, ‘Canal do Nicola’, berkata bekas bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona itu cuba dipancing gergasi ibu kota Sepanyol berkenaan sejak bertahun-tahun lalu.

Menurut Ribeiro, dia dan Perez beberapa kali berunding mengenai Neymar termasuk dalam pertemuan baru-baru ini pada tahun lalu.

Ribeiro terbabit dalam membawa beberapa pemain dari Brazil ke Madrid, namun khidmat Neymar masih belum dapat dijangkau juara Eropah sebanyak 13 kali itu.

Ribeiro sempat mewakili pemain berusia 28 tahun itu selama beberapa tahun sebelum diuruskan bapanya sendiri dalam tempoh sedekad lalu.

Ribeiro dan Neymar saling bekerjasama ketika tawaran Chelsea hadir buat penyerang Santos itu pada 2010, dan Ribeiro mendakwa Bayern Munich dan Juventus turut menunjukkan minat yang mendalam sebelum Neymar berpindah ke Camp Nou.

“Saya tiba di Madrid beberapa kali kerana Florentino memasang impian untuk mendapatkan Neymar,” kata Ribeiro.

“Tahun lalu saya juga berjumpanya di pejabatnya pada Mei, malah dia memberitahu masih mengimpikan untuk menandatangani Neymar.”

Kontrak penyerang itu ditebus dengan harga 164 juta Euro (RM773.62 juta) tetapi Ribeiro melabel nilai pemain berkenaan seharusnya lebih tinggi daripada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

“Dia jauh lebih baik,” kata Ribeiro. “Saya tidak pernah melihat Neymar beraksi dengan teruk. Setiap perlawanan dia bermain dengan baik.”