BEKAS pertahanan Manchester United, Rafael da Silva mengkritik Manchester United kerana melakukan beberapa kesilapan dengan membeli pemain dengan nilai yang mahal.

Walaupun United berjaya muncul juara Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun gergasi England itu masih belum muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2013.

Pertahanan kelahiran Brazil itu mendakwa pihak pengurusan kelab harus dipersalahkan kerana membeli pemain yang mempunyai perwatakan salah untuk membina karier di Old Trafford.

“Ia mengambil masa lama untuk kembali pada landasan terbaik. Sudah tujuh tahun. Kita melakukan beberapa kesilapan. Kita mula membeli pemain mahal dan memberikan mereka duit yang banyak.

“Saya tidak setuju mengenai perkara itu. Disebabkan pemain itu berharga £150 juta (RM808 juta) tidak bererti pemain berkenaan bagus buat pasukan,” katanya.

Rafael, yang sekarang ini beraksi bersama Lyon, melakukan 169 penampilan bersama United dari 2008 hingga 2015.