PARIS Saint-Germain dinobatkan juara Ligue 1 selepas liga bola sepak Perancis (LFP) mengumumkan kempen musim ini berakhir susulan pandemik koronavirus.

PSG mendahului 12 mata di depan Marseille ketika liga digantung pada pertengahan Mac apabila penularan wabak Covid-19 membunuh 24,000 nyawa di Perancis.

Pengumuman LFP itu hadir selepas Perdana Menteri, Edouard Philippe berkata, semua aksi liga sukan profesional terutama bola sepak tidak dapat bersambung kembali kerana pandemik.

“Tiada keraguan mengenai deklarasi ini. Kami perlu membuat keputusan muktamad mengenai musim ini. Ingin kami jelaskan musim 2019-20 telah pun berakhir,” kata presiden LFP, Nathalie Boy de la Tour dalam sidang video bersama wartawan, awal pagi tadi.

Perancis menjadi liga terbesar Eropah yang menamatkan kempen musim ini ketika England, Jerman, Itali dan Sepanyol masih mempertimbangkan untuk memulakannya kembali.

Tidak seperti Belanda yang mengakhiri musim tanpa juara, penyingkiran atau promosi, LFP memuktamadkan kedudukan liga berdasarkan mata purata setiap perlawanan.

PSG dan Strasbourg berkelebihan satu aksi dalam tangan ketika kempen terhenti dengan berbaki sepuluh perlawanan.

Hasilnya, PSG muncul juara dengan purata 2.52 mata setiap perlawanan manakala Marseille kendalian Andre Villas-Boas di kedudukan kedua dengan purata 2 mata dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Rennes di tempat ketiga turut layak ke Liga Juara-Juara manakala Lille di tempat keempat beraksi di Liga Europa.