PARIS Saint-Germain (PSG) akan dinobatkan juara Ligue 1 susulan keputusan untuk membatalkan baki saingan musim ini berikutan pandemik Covid-19.

Pihak kerajaan Perancis melarang sebarang aktiviti sukan sehingga sekurang-kurangnya September depan sekali gus menyaksikan aksi liga terpaksa ditamatkan.

Minggu lalu liga di Belanda diselesaikan dengan tiada pasukan dinobat selaku juara selepas Ajax dan AZ Alkmaar berkongsi kedudukan mata di tangga teratas dan tiada juga penyingkiran.

Media L’Equipe melaporkan PSG dinobatkan selaku juara musim 2019/2020 di sebalik masih berbaki 11 perlawanan liga.

PSG sudah memenangi kejuaraan liga sebanyak enam kali daripada tujuh musim terakhir dan kini selesa di tangga teratas dengan kelebihan 12 mata berbanding Marseille di tangga kedua.

Pasukan yang menduduki tangga bawahan Ligue 1 kini menanti nasib mereka apabila satu keputusan akan ditentukan.

Nimes, Amiens dan Toulouse kesemuanya menduduki kelompok tiga terbawah.