PERSATUAN Renang Amatur Negeri Sembilan (Prans) terus mendapat pengiktirafan rakan serantau apabila dijadikan kem latihan skuad renang berirama Jawa Timur Indonesia, tahun ini.

Presiden Prans, Zainal Othman berkata, seramai lapan atlet berusia antara 15 hingga 20 tahun dari Jawa Timur menjalani latih di Pusat Akuatik Paroi, bermula awal Januari lalu.

Katanya, bagaimanapun kesemua atlet terbabit terpaksa menangguhkan latihan mereka bermula pertengahan Mac lepas, kerana Covid-19 yang melanda negara ini dan 135 negara lain termasuk Indonesia.

“Mereka terpaksa menangguhkan dahulu latihan di sini kerana wabak Covid-19 dan kesemua atlet berkenaan sudah kembali ke negara asal mereka pada pertengahan Mac lalu.

“Mereka dijadual meneruskan latihan di sini sebaik wabak Covid-19 ini reda,” katanya.

Atlet renang berirama Jawa Timur yang menjalani latihan di Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil.
Atlet renang berirama Jawa Timur yang menjalani latihan di Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil.

Zainal berkata, Prans bangga dengan pemilihan Persatuan Atlet Renang Jawa Timur yang memilih Seremban sebagai pusat latihan untuk atlet mereka.

Menurutnya, pemilihan itu jelas satu pengiktirafan kepada Prans yang sebelum ini mempunyai rekod baik dalam melahirkan ramai atlet renang berirama bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pengambilan seorang jurulatih dari China yang mahir dalam membimbing atlet bagi acara berkenaan jelas memberi impak positif kepada usaha Prans untuk melahirkan lebih ramai atlet renang berirama negara.

“Pembabitan atlet dari Jawa Timur itu juga memberi kesempatan kepada atlet renang Negeri Sembilan untuk mendapatkan rakan sepelatih yang berbakat dan berwibawa sekali gus mampu membantu mereka mencapai tahap terbaik.

“Tambahan pula ketika ini kita (Prans) mempunyai 20 atlet bakat baharu dalam acara itu berusia antara 13 hingga 15 tahun yang sedang dibimbing untuk mencapai tahap prestasi terbaik pada tempoh dua tahun ini,” katanya.

Mengenai Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Zainal berkata, kali ini Prans tidak menghantar atlet kerana belum ada yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan Majlis Sukan Negeri Sembilan (Msns).

“Namun, kita percaya Negeri Sembilan (Prans) mampu mengembalikan semula reputasi yang pernah kita capai beberapa tahun lalu, dengan lahirnya perenang bertaraf tertinggi rantau ini, apabila projek pembangunan atlet muda ini mencapai kemuncaknya,” katanya.