KEGAGALAN Kedah melunaskan gaji pemain berpunca daripada penangguhan penerimaan bayaran penaja susulan kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Demikian penjelasan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berkenaan kemelut pembayaran gaji yang kini melanda skuad Helang Merah itu.

Jelas Asmirul, sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) diumumkan kerajaan pada 18 Mac lalu, pihaknya sentiasa berbincang dengan penaja dan mendapatkan maklumat terkini mengenai status pembayaran penajaan namun dengan lanjutan PKP yang memasuki fasa ketiga hingga 28 April ini, ia sekali gus memberi kesan kepada kantung KFA.

“Apabila berlaku PKP pertama pada 18 Mac, pihak penaja memohon penangguhan pembayaran sehingga tamat gelombang pertama. Malangnya, sebagaimana yang semua sedia maklum, PKP di lanjutkan hingga ke peringkat tiga yang akan berakhir pada 28 April ini.

“Ini menyukarkan pihak penaja untuk memperjelaskannya kerana perniagaan mereka juga terjejas teruk akibat daripada kekangan ekonomi yang berlaku. Namun mereka tetap berjanji akan memperjelaskan penajaan sebaik sahaja PKP tamat,” katanya.

Kelmarin, arena bola sepak negar digemparkan dengan pendedahan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menamakan skuad Kedah antara empat pasukan sedang bergelut dengan tunggakan gaji termasuk Melaka United, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan berkenaan dana kerajaan negeri yang pada kebiasaannya akan menghulurkan bantuan buat pasukan, bagaimanapun kali ini tidak mampu ‘mengepam’ duit ke akaun KFA.

Katanya, keutamaan kerajaan negeri pada waktu ini adalah untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Di pihak kerajaan negeri Kedah pula, keutamaan harus diberikan menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk kos sara hidup yang pada ketika ini tentunya menjadi agenda utama negeri.

“Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting. Kerajaan Kedah menfokuskan patuh PKP ini dititik beratkan sehinggalah kita berjaya mengekalkan lima hari (10-14 April) berturut-turut tiada kes baru Covid-19,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan nasib pasukan terutamanya pemain dan pegawai tidak akan diketepikan begitu saja.

“Kerajaan negeri masih boleh mempunyai dana untuk langkah penyelesaian. Segalanya akan di selesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan selepas tamat tempoh PKP ini. Insya-Allah,” katanya.