MAURICIO Pochettino menaruh impian dapat kembali semula ke Tottenham dan menamatkan ‘misi’ yang belum selesai.

Bekas pemain antarabangsa Argentina itu mengendalikan Spurs lebih lima tahun dengan membawa pasukan itu ke kelompok empat teratas Liga Perdana selain mara ke final Liga Juara-Juara tahun lalu.

Bagaimanapun, dia gagal menjulang sebarang trofi sepanjang menjadi pengurus Spurs dan ketika kelab bergelut di kelompok pertengahan liga, dia dipecat pada November 2019.

Jose Mourinho kini mengambil alih tugas tetapi Pochettino pecaya dia akan kembali bersatu dengan Spurs dan mengakui kelab itu tetap mendapat tempat di hatinya.

“Ia pengalaman mengagumkan tetapi tamat dengan cara yang sudah tentu sesiapa sahaja tidak mahu,” kata Pochettino dalam rancangan BT Sport.

“Tetapi saya yakin kami akan bertemu semula. Sejak hari pertama meninggalkan kelab, impian saya suatu hari nanti mahu kembali dan menyelesaikan kerja yang belum selesai.

“Kami hampir menjulang trofi. Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, kami sangat hampir tetapi sudah tentu saya memandang ke depan dan saya sangat bermotivasi untuk projek selepas ini.

“Tetapi hati ini berharap suatu hari dapat kembali (ke Spurs). Kelab ini sangat istimewa, begitu juga dengan penyokongnya.”

Katanya lagi: “Mungkin lima atau 10 tahun lagi tetapi sebelum mati, saya mahu mengurus kembali Tottenham dan berusaha memenangi gelaran.

“Saya mahu merasakan betapa bermakna menjulang satu trofi bersama Tottenham kerana penyokong mereka amat mengagumkan.”

Pochettino dikaitkan dengan kelab liga utama Inggeris, Newcastle United yang bakal mendapat pemilik baharu.