JUARA dunia kelahiran Australia dari pasukan Ineos, Rohan Dennis menutup akaun Instagram dan Twitter selepas melakukan kesalahan melanggar perintah berkurung di Sepanyol.

Pelumba berbakat berusia 29 tahun dari Adelaide itu adalah juara dunia ujian masa namun mempunyai masalah disiplin termasuk meninggalkan pasukan Bahrain-Merida selepas meletakkan basikalnya di sebelah bas pasukan dan dia juga turut menghilangkan diri di Tour de France tahun lalu.

Hujung minggu lalu dia menyuarakan perasaan tidak puas hati di Instagram berikutan tempoh yang lama peraturan berkurung sebelum memadamkan akaunnya.

Bagaimanapun, netizen masih sempat tangkap layar status berkenaan yang berbaur cacian terhadap peraturan perintah berkurung.

“Hari ke-34, bosan dan mahu tinggalkan tempat ini. #covid19 dan #kuarantin boleh pergi jahanam,” katanya.

Status berkenaan disertakan dengan gambar dia berada di dalam kereta melalui jalan kawasan kampung.

Pasukan Ineos sangat aktif memerangi Covid-19, termasuk dengan mengeluarkan ubat pencuci tangan dan mengagihkannya di hospital.

Dennis dikatakan membalas komen netizen dengan menjawab bahawa dia suka berterus-terang dan tidak mahu berbohong.