KRISIS wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara ini seharusnya membuka mata semua pihak terutama Persatuan Bolasepak Negeri (FA) betapa pentingnya skuad bola sepak mereka diswastakan sekali gus bergerak secara berasingan sebagai FC.

Kebergantungan kepada dana Kerajaan Negeri oleh beberapa FA menyaksikan pemain dan pegawai pasukan menerima tempias apabila gaji mereka gagal dibayar susulan tumpuan Kerajaan Negeri ketika ini lebih terarah kepada masalah rakyat yang terkesan ekoran Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, ketika ini hanya tiga kelab mencapai taraf FC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City) dan Sarawak United.

Katanya, berdasarkan senario semasa, ketiga-tiga kelab terbabit langsung tidak berdepan masalah pembayaran gaji kerana ia dimiliki seorang pemilik bertaraf ahli perniagaan atau tokoh korporat berjaya.

Bagaimanapun, situasi itu amat berbeza dengan beberapa pasukan bergantung kepada dana Kerajaan Negeri yang menyaksikan gaji pemain tidak atau lambat dibayar.

“Apabila berlaku Covid-19 ini baru kita nampak, contohnya baru-baru ini isu pasukan Kedah yang sangkut gaji disebabkan penaja lambat bayar dan dana kerajaan negeri yang beri keutamaan dahulu kepada rakyat.

“Tapi bila ada pemegang saham atau pemilik sesebuah pasukan, tahulah mereka macam mana nak buat bagi menangani masalah ini. Pemilik kelab boleh datang daripada individu korporat yang memang mencintai bola dan ada duit.

“Ataupun, mungkin pemilik kelab ini tidak semestinya seorang atau dua, ia boleh sampai lapan orang yang bergerak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab. Di situ, ia boleh membantu antara satu sama lain, jadi inilah yang seharusnya FA fikirkan dan bantu segera mencari pemilik pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

“Pada 22 Mei tahun lalu, akhbar ini secara eksklusif melaporkan, FAM menubuhkan satu jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga M mempunyai sebuah organisasi kelab berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada FA bermula musim 2021.

Meskipun ada beberapa pasukan menukar status kepada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, begitupun ia masih terikat dengan Kerajaan Negeri di mana dana pasukan masih dibiayai sepenuhnya oleh pemimpin politik.

Mengulas lanjut, Firdaus menjelaskan tempoh akhir bagi semua FA mendaftarkan pasukan sebagai FC pada September ini terpaksa dilanjutkan sehingga ke tahun hadapan susulan wabak Covid-19 ini.

“Saya yakin kalau kita dapat menterjemahkan FA kepada FC ini, banyak kebaikan kepada pemain-pemain. Malah, saya percaya menerusi sesi penerangan dan taklimat diberikan kepada semua FA sebelum ini, kita mampu mencapai objektif dengan sasaran 2022 semua pasukan liga tempatan diswastakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19