PENGUMUMAN persaraan Olimpian negara dalam sukan berbasikal trek, Fatehah Mustapa turut dirasai pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan.

Pemenang Jersi Hijau (Raja Pecut) dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 itu berkata, persaraan atlet kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu sudah pasti memberi tamparan buat kem negara kerana setakat ini belum ada pelumba wanita negara berjaya sehingga ke tahapnya.

Bekas pelumba pasukan Terengganu Inc Cycling Team (TSG) kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata, keputusan yang diumumkan pelumba berusia 31 tahun itu sudah pasti mengambil kira semua aspek.

Namun Anuar berkata, sebagai atlet bertaraf dunia, ilmu dan pengalaman yang dimiliki pelumba yang pernah beraksi di pentas tertinggi Sukan Olimpik London dan Olimpik Rio itu perlu dimanfaatkan sebaiknya termasuk boleh dicurahkan kepada generasi baharu.

“Pengumuman persaraan yang dibuat Fatehah perlu diterima dengan positif, mungkin dia mempunyai perancangan lebih baik dalam kehidupannya, kita pun tidak tahu apa difikirkannya.

”Jika diikutkan setakat ini belum ada lagi pelumba wanita Malaysia berjaya sampai ke tahapnya, ini sudah pasti merugikan pasukan negara terutama sebagai persiapan ke Sukan Asia dan Komanwel 2022.

“Tapi daripada sudut lain, mungkin pada satu masa nanti Fatehah boleh mencurahkan pengalamannya dengan melatih generasi baharu menjadi sepertinya atau lebih berjaya lagi,” ujar Anuar.

Kelmarin atlet yang pernah merangkul gelaran juara Asia pada 2013 di New Delhi itu nekad mengumumkan persaraannya secara rasmi selepas menghantar surat kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketika ditanya ada kemungkinan Fatehah akan menarik semula keputusannya untuk bersara, Anuar menyatakan dia tidak fikir pelumba itu bakal membuat pusingan ‘U’.

“Biasanya pelumba profesional tidak akan tarik balik keputusannya itu, namun jika dia kembali menyarung jersi negara pasti dialukan semua pihak lagi pun masih ada tempat untuknya,” kata Anuar.