PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap pemain kebangsaan yang kini melakukan latihan di rumah terus mengekalkan tahap kecergasan di tahap terbaik.

Jelasnya, penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) ekoran penularan wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain berehat tanpa melakukan sebarang aktiviti.

Katanya, setiap pasukan Liga-M sudah pastinya memberi ‘kerja rumah’ kepada semua pemain termasuk anggota skuad kebangsaan.

“Kena ikut program yang sudah diaturkan oleh pasukan masing-masing. Walaupun pemain rehat di rumah tapi mereka masih boleh berlatih di rumah.

“Kecergasan kena jaga sebab apabila liga bermula nanti, mereka sekurang-kurangnya sudah bersedia sebelum menjalani latihan lebih agresif.

“Saya percaya pemain tahu apa yang mesti dibuat kerana ini juga demi kebaikan diri pemain sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Liga-M dihentikan pada 16 Mac lalu bagi menghormati arahan kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Malah, latihan pusat skuad negara yang sepatutnya berlangsung selama dua minggu sehingga 31 Mac turut dibatalkan selepas aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada 26 dan 31 Mac ditunda ke Oktober depan.

Difahamkan, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah mengeluarkan tarikh cadangan bagi aksi kelayakan itu pada 8 dan 13 Oktober untuk perlawanan menentang UAE di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil.

Manakala aksi terakhir pasukan negara dalam Kumpulan G adalah pada 17 November di Bangkok untuk berdepan Thailand.

Ketika ini, Malaysia berada di tangga kedua kumpulan dengan mengumpul sembilan mata dan sekiranya mampu meraih sekurang-kurangnya enam mata lagi, peluang untuk mara secara automatik ke Piala Asia di China pada 2023 dilihat cerah sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia zon Asia.