BINTANG tenis Austria, Dominic Thiem menegaskan dia tidak akan menyumbang dana bagi membantu pemain ranking lebih rendah dan mendakwa tiada siapa di antara mereka yang kelaparan.

Minggu lalu, Novak Djokovic menggesa diwujudkan Dana Kecemasan Pemain ATP bagi membantu pemain yang berada di luar ranking 250 dunia.

Pemain nombor satu dunia dan presiden Majlis Pemain itu mahu mengutip £790,000 (RM4.25 juta) daripada kelompok pemain ranking 100 teratas dengan lima pemain utama menderma sekitar £24,000 (RM129,000).

Thiem yang juga pemain nombor tiga dunia memperolehi £1.6 juta (RM8.6 juta) selepas tewas kepada Djokovic pada Terbuka Australia berkata: “Tiada siapa pemain ranking rendah ini yang bergelut untuk hidup dan kelaparan.

“Saya lihat ada di antara pemain di Jelajah ITF yang tidak memberikan komitmen 100 peratus dalam sukan ini. Ramai yang tidak profesional dan saya tak nampak mengapa saya perlu memberikan mereka duit.

“Jika saya mahu menderma, saya akan memilih membantu mereka atau institusi yang memerlukan dalam saat sukar ini. Tiada kerjaya yang menjamin kejayaan pada permulaan karier,” katanya.

Sebelum ini Djokovic berkata dia, Roger Federer dan Rafael Nadal bercadang mengaturkan bantuan untuk pemain yang bergelut berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Mereka yang menduduki ranking 200-250 sehinggalah ke 700 sudah ada yang memikiran untuk meninggalkan sukan tenis,” katanya.

“Kami berharap dapat meraih antara AS$3 juta (RM13 juta) dan AS$4.5 juta (RM19 juta) yang kemudian akan diagihkan bersama,” katanya.

Namun Thiem berbeza pandangan dalam hal ini dan mempunyai cara sendiri untuk menyalur sumbangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19