PEMAIN Negeri Sembilan akan menunggu perbincangan lanjut dengan majikan mereka, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengenai isu potogan gaji, susulan Liga Malaysia (Liga-M) terhenti angkara wabak Covid-19.
Semua pemain pasukan itu dikatakan sudah menerima surat daripada pihak pengurusan persatuan bagi mengadakan sutu perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak.
Pemain tengah berpengalaman Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah berkata, dia sudah menerima surat berkenaan daripada majikannya 10 hari yang lalu.
“Surat itu menyatakan bahawa akan ada perbincangan dua hala antara pemain dan majikan sebelum sebarang keputusan diambil (tentang potongan gaji).
“Saya lihat pendekatan yang diambil PBNS itu adalah terbaik dan harus dipuji kerana dalam perkara ini (potongan gaji) memerlukan perbincangan antara majikan dan pemain.
“Saya juga yakin semua pemain Negeri Sembilan sedia mematuhi arahan untuk mengadakan perbincangan dan akan akur dengan sebarang keputusan yang akan diambil pihak majikan,” katanya di sini, hari ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam kenyataan beliau baru-baru ini, berharap semua pasukan memanfaatkan sepenuhnya ruang perbincangan yang sudah dibuka bagi menyelesaikan isu pembayaran gaji.
Stuart menjelaskan bahawa setiap pasukan perlu bijak mencari langkah penyelesaian terbaik bagi memastikan kebajikan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pemain terus terbela.
Shahurain berkata, rakan-rakannya dalam skuad Hobin Jang Hobin sedar bahawa mana-mana pasukan akan berhadapan dengan masalah kewangan susulan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan saingan Liga-M ditanggguhkan.
“Bagi saya tiada masalah untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu kerana ia suatu cara terbaik supaya kedua-dua pihak boleh memberikan pandangan.
“Apa yang penting akhirnya suatu keputusan ‘menang-menang’ boleh dicapai,” katanya.
Berbanding beberapa pasukan lain dalam Liga-M, PBNS dikenal pasti antara persatuan yang diuruskan dengan baik dan tiada isu membabitkan tunggakan gaji pemain.