BARISAN pemain dan kakitangan pasukan Serie A, Cagliari bersetuju untuk tidak dibayar gaji selama sebulan bagi membantu kelab menghadapi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, kata presiden Tommaso Giulini.

Seperti kemelut bola sepak di seluruh dunia, saingan Serie A ketika ini ditangguhkan dan tiada tanda-tanda bilakah ia dapat bersambung semula meskipun badan induk bola sepak di Itali berharap mahu menamatkan aksi liga musim ini.

“Saya dapat melihat semangat tanggungjawab bersama. Kesemua kakitangan bukan sahaja pemain bersetuju untuk memotong gaji mereka selama sebulan,” kata Giulini menerusi temuramah dengan sebuah stesen televisyen.

“Ia membolehkan kami mengehadkan kerugian. Jika aksi liga tidak bersambung semula, kami akan memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk tempoh beberapa bulan lagi.

“Untuk sekarang, kami hanya dapat mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memahami situasi di dalam pasukan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, juara bertahan Serie A, Juventus berkata, barisan pemain mereka bersetuju untuk mengurangkan gaji bermula Mac sehingga Jun bagi membantu kelab Turin itu mengharungi krisis Covid-19 ketika ini.

Inter Milan juga dilaporkan hampir mencapai persetujuan untuk memotong gaji barisan pemain mereka.

Beberapa kelab seperti Fiorentina dan Torino berkata, mereka berpendapat saingan musim ini tidak dapat ditamatkan.