PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) komited untuk terus menyediakan platform buat pemain bola sepak tempatan bagi memburu impian untuk bergelar pemain profesional sekali gus memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

PBSMM yang menyambut ulangtahun ke-73 semalam adalah antara persatuan yang paling aktif dalam membangunkan bakat-bakat baru khususnya menerusi pertandingan anjurannya seperti Piala Emas Raja-Raja (PERR) dan Piala Agong yang dianggap sebagai kejohanan kedua terbesar selepas saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Malah, menerusi kejohanan anjuran PBSMM itu, ramai pemain ternama berjaya dilahirkan di setiap generasi seperti pada 60an, Zulkifli Norbit; legenda Selangor dan Pahang sepanjang era 90an, Mubin Mokhtar diikuti Mohd Hafiz Kamal dan Nasir Basharudin pada era millenium ini.

Presiden PBSMM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya tekad untuk terus menyediakan talian hayat kedua kepada pemain muda bagi mencapai halatuju F:30 yang sudah ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kejohanan bola sepak PERR dan Piala Agong amat berprestij dan reputasi tinggi anjuran PBSMM sentiasa dinantikan oleh pemain bola sepak remaja bagi mempamerkan bakat mereka dan yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak pasukan-pasukan profesional.

“Kejohanan anjuran PBSMM ini juga boleh dijadikan sebagai platform untuk pemain-pemain mendapat peluang kedua terutama untuk mereka yang ingin kembali ke kancah liga utama di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai pandemik Covid-19, beliau yang juga Exco FAM berharap agar wabak ini segera berakhir sekali gus dapat merangka perancangan baharu bagi saingan PERR musim ini yang sering berlangsung hujung tahun.

“Saya mendoakan kita akan beroleh kejayaan dalam menghadapi cabaran Covid-19 sekarang ini secepat mungkin dan seterusnya boleh meneruskan beberapa perancangan PBSMM terutama PERR yang mempunyai reputasinya yang tersendiri.

“Jika diizinkan, PERR tahun ini akan melangkah ke tahun 80 penganjurannya selepas PBSMM ditubuhkan semenjak tahun 1926,” kata Firdaus.

Selain penganjuran kejohanan bola sepak, PBSMM juga aktif menganjurkan kursus-kursus Kejurulatihan dan pengadil termasuk aktiviti-aktiviti bola sepak akar umbi.

Firdaus juga memaklumkan bahawa PBSMM merancang beberapa inisiatif bagi

memperkasakan persatuan menjelang Sambutan Jubli Platinum (ke-75) yang akan disambut pada tahun 2022.