BELIAU hanya seorang guru biasa, namun berjaya melahirkan ramai atlet pecut berbakat.
Nama Mohd Poad Md Kassim mula menjadi sebutan ketika berjaya melahirkan Badrul Hisyam Manap yang mencuri tumpuan arena olahraga negara apabila meraih emas di Sukan Sekolah-Sekolah Asean pada 2015 selain berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebelum dinafikan kerana masalah teknikal.
Jadual Poad begitu padat terutama selepas membentuk Akademik Pecut Poad (APS), namun bersyukur Ramadan kali ini beliau dapat menghabiskan masa bersama keluarga, hikmah daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Bagi saya Ramadan adalah masa untuk tingkatkan amal ibadat di bulan mulia ini.
“Selain itu dalam keluarga, saya akan bagi anak membaca Al-Quran ikut juzuk yang perlu mereka habiskan supaya kami dapat khatam bersama.
“Satu lagi tugas saya di bulan Ramadan ini adalah mengajar anak di rumah. Saya akan pantau mereka untuk buat latihan yang diberikan oleh cikgu sekolah masing-masing,” kata ayah kepada tujuh cahaya mata itu.
Bagaimanapun, Ramadan kali ini sedikit berbeza apabila terpaksa berpisah dengan anak perempuannya berusia 12 tahun yang kini berada di Grik, Perak selepas tidak dibenarkan untuk pulang ke Johor berikutan PKP.
Begitupun, tugasan hakikinya tetap diteruskan seperti biasa dengan memantau atlet di bawah bimbingannya menerusi kumpulan WhatsApp selain panggilan video bagi memastikan atlet tidak culas untuk membuat latihan.
Katanya, setiap kali Ramadan atlet akan tetap menjalani latihan seperti biasa dan kebiasaannya akan dilakukan pada sebelah malam selepas solat Tarawih.
Legasi Poad diteruskan dengan melahirkan generasi pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi.
Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz dan mempertahankan emas temasya itu menerusi Haiqal di Filipina tahun lalu.
Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau 14 tahun emas negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38 saat, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Cray.