LIMA tahun selepas memeluk Islam, bekas pemain hoki negara, Iman Gobinathan berasakan hidupnya semakin sempurna dan tenang dalam menjalani kehidupan seharian.

Nikmat sebagai seorang Muslim lebih dirasainya apabila tibanya bulan Ramadan kerana dapat berpuasa dan mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

“Saya tidak mahu bersikap hipokrit kerana memang masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan ada ibadah yang masih tidak dapat saya lakukan dengan sempurna.

“Tapi bagi saya, yang penting adalah solat lima waktu. Saya akan pastikan untuk tidak meninggalkannya. Ketika bulan Ramadan pula, saya gemar solat Subuh berjemaah di masjid selepas bersahur,” katanya.

Bekas penolong jurulatih skuad Projek 2013 yang pernah melakar sejarah membantu pasukan meraih tempat keempat di Piala Dunia Remaja dan memenangi Piala Remaja Asia itu berkata, Islam sebenarnya bukanlah asing baginya.

“Sejak zaman kanak-kanak, saya berkawan dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum termasuklah yang beragama Islam.

Di situ saya banyak belajar mengenai Islam.

“Malah ketika bersama skuad negara, saya sama-sama berpuasa ketika bulan Ramadan. Rakan sepasukan, Nor Azlan Bakar banyak membimbing saya, jadi berpuasa sebenarnya bukanlah asing untuk saya.

“Kemudian saya ambil keputusan memeluk Islam pada 2015 sebelum melangsungkan perkahwinan bersama isteri pada tahun sama. Kalau dulu mungkin sekadar hendak tahu mengenai Islam, tetapi sekarang saya perlu mempraktikkan segala ibadah dengan sebaik-baiknya,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Sydney 2000 dan Piala Dunia Kuala Lumpur 2002.

Iman yang membantu pasukan Hockademy wanita memenangi Liga Hoki Malaysia musim ini juga mengakui Islam banyak membantu membentuk kariernya sebagai jurulatih.

“Antaranya saya belajar erti reda. Apabila pasukan kalah, saya menganggapnya sebagai belum ada rezeki dan akan berusaha untuk pastikan barisan pemain kembali bangkit dan cuba meraih kemenangan,” katanya.