TAK sampai 24 jam selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pemotongan gaji membabitkan kakitangannya, kini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut mengikut jejak dengan melaksanakan pengurangan gaji sebanyak 10-20 peratus.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu persidangan video dan tindakan itu diambil sebagai langkah penjimatan terutama kesan ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik Covid-19.

Malah, tindakan pemotongan gaji menjawab kepada laporan Arena Metro baru-baru ini apabila bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh mendesak supaya FAM dan MFL memotong dahulu gaji pengurusan sebelum menggesa pasukan dan pemain Liga Malaysia (Liga-M) mengikut jejak sama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, langkah pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan bermula April ini sehingga PKP ditarik balik dan menerusi perbincangan bersama kakitangan mereka sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak ke depan.

“MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia,” katanya.

Biarpun langkah ini diambil, ia tidak memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga-M berdasarkan keadaan semasa wabak Covid-19.