ALEX Marquez mengesahkan aspek aerodinamik memberikan masalah kepada jentera Honda ketika sesi ujian pramusim MotoGP.

Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez mungkin keberatan menyatakan punca masalah tetapi rakan sepasukan baharu yang juga adiknya, Alex mengesahkan ia memang berpunca daripada aerodinamik.

“Saya mengalami nahas yang pelik di Malaysia, nahas pelik di sini (Qatar) dan saya tak faham tetapi hari ini kami memahami semuanya,” kata Marc. “Sekali lagi pada hari terakhir di Qatar kami berjaya mengatasinya!”

Bercakap kepada SkySport.it, Alex mengesahkan: “Kami melakukan ujian yang bagus di Valencia dan Jerez (tahun lalu) manakala di Malaysia terdapat masalah dengan aerodinamik. Kemudian di Qatar namun Marc berjaya menyelesaikannya pada hari terakhir.”

Alex turut menegaskan perlumbaan pertamanya di MotoGP bergantung kepada tahap pengurangan pergerakan susulan pandemik koronavirus.

“Kalendar buat masa sekarang tidak realistik,” kata juara bertahan Moto2 itu. “Sudah pasti musim berbeza daripada biasa. Jika kami bermula pada Ogos, kami akan menyertai 10-15 perlumbaan.

“Sudah pasti perlumbaan tanpa penonton. Ini situasi pelik tetapi paling penting sekarang, orang ramai perlu kekal di rumah. Bagi kami pelumba, perlu kekal 100% cergas kerana kami tak tahu bila ia kembali bermula.

“Ia tidak mudah kepada ‘rookie’ untuk terus begini dalam tempoh lama tetapi kami perlu terus tenang dan kompetitif. Situasi ini sama kepada semua orang.”