KETUA Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt memberi amaran pandemik Covid-19 mampu menggugat masa depan pasukan pemotoran dan pengeluar.

Sembilan perlumbaan Formula Satu telah pun dibatal atau ditangguhkan.

“Banyak penangguhan atau pembatalan. Kami perlu menimbangkan kalendar dan bertanya diri sendiri bila semuanya boleh disambung semula,” kata Todt kepada AFP.

“Perlumbaan motor, bermula dengan F1 sangat mahal. Kami telah pun mengambil langkah tetapi pandemik menjadikan kosnya terlalu besar untuk ditanggung.

“Terdapat risiko kehilangan pasukan dan pengeluar. Anda perlu bertanggungjawab dan melaksanakan penyelesaian yang lebih sesuai.”

Grand Prix Kanada yang dijadualkan pada 14 Jun menjadi perlumbaan terbaharu yang ditangguhkan malah sebelum acara di Montreal menjadi ‘mangsa’, bos McLaren, Zak Brown berkata, Formula Satu dalam situasi sangat ‘rapuh’.

Dia memberi amaran sekurang-kurangnya empat pasukan bakal gulung tikar akibat penyusutan keuntungan daripada penajaan dan penyiaran.

Peraturan baru teknikal yang dicadangkan bermula 2021 ditunda ke 2022.

Brown berkata minggu lalu semua pasukan bersetuju untuk merendahkan had gaji daripada $175 juta (RM756 juta) ke $150 juta (RM648 juta) dan kini dia mahu kadar itu direndahkan lagi.